Thursday, September 10, 2009

HARI RAYA AIDILFITRI 1430 H

HARI RAYA PUASA AIDIL FITRI 1430 H

Hari Raya Puasa merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia bagi menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan di mana umat Islam akan berpuasa dan beribadat dengan lebih tekun. Hari Raya Puasa bermula apabila anak bulan kelihatan, menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke sepuluh dalam kalender Hijrah Islam. Anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik di Malaysia.

Perayaan Hari Raya Puasa juga merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila sembahyang sunat Aidil Fitri dimulakan.
Perayaan Hari Raya Puasa bermula sebaik sahaja anak bulan disahkan kelihatan oleh pemegang Mohor Besar Diraja, dimana takbir akan bergema di masjid-masjid menandakan mulanya perayaan Hari Raya Puasa. Pada keesokkan harinya, pada awal sebelah pagi, sesetengah orang akan pergi membersihkan perkuburan orang yang disayangi dan berdoa agar roh mereka dirahmati Allah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Sembahyang sunat Hari Raya Puasa sebanyak 2 rakaat pula akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak lewat sedikit berbanding Hari Raya Korban. Kita disunatkan untuk makan sedikit sebelum menunaikan sembahyang sunat Aidil Fitri. Selain itu kita disunatkan juga untuk pergi dan balik daripada mengerjakan sembahyang sunat Aidil Fitri melalui jalan yang berlainan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu, mereka yang muda akan memohon kemaafan daripada mereka yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi antara sesama mereka.

Pada hari raya, Aidil Fitri, kita disuruh agar membantu mereka yang dari golongan fakir miskin. Mereka yang malang ini jangan dilupakan dan hendaklan diraikan dan diberi bantuan sekadar yang mampu.


Pada zaman nabi, perayaan Hari raya Aidil Fitri hanya disambut selama 1 hari sahaja, berbanding dengan perayaan hari raya Aidil Adha yang disambut selama tiga hari.
Selepas meraikan hari raya Aidil fitri, orang Islam juga disunatkan untuk berpuasa enam hari atau 'puasa enam'. Puasa enam boleh dilakukan secara berturut-turut atau berselang-seli tetapi mesti dihabiskan di dalam bulan Syawal. Ini berdasarkan sabda NabiS.A.W.
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikuti puasa itu dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya sama dengan nilai puasa satu tahun (penuh)." (Riwayat Muslim.)